Mendongak wajah ke langit: REVISITED

Selasa, Mei 23, 2006
Ketika aku kecil dahulu, aku sering mendongak ke atas sana sambil melihat gumpalan awan kumulus berarak perlahan di sebalik wajah langit yang membiru. Bersama teman sepermainan ku, teman rapat ku yang sentiasa bersama-sama ke mana sahaja, kami sering membayangkan bahawa ada negeri lain di balik gumpalan awan tadi – Mungkin sebuah negeri yang penuh dengan pari-pari berterbangan, putera raja yang berkejaran dengan puteri idaman di taman indah atau sahaja peperangan besar yang sedang berlangsung di antara dua raja yang amat gagah di atas sana!

Di sebalik awan yang bagaikan kapas putih itu, APIS (entah di mana dia sekarang!) selalu mengatakan bahawa kalau kami sudah cukup pandai, mungkin kami boleh membina sayap-sayap besar dan terbang ke negeri ini. Benar kami tidak pernah berjaya membina sayap-sayap itu sehingga ke hari ini, tetapi aku tetap percaya bahawa suatu hari nanti, kami akan terbang juga ke negeri di balik awan itu!

Lalu kami cuba memikirkan cara yang lain. Cara yang mudah. Dengan menangkap pepatung (atau sibu-sibu/dragonfly) yang banyak berterbangan di pinggir kali – lalu ekornya kami ikat dengan benang yang di curi dari rumah APIS (Cik Enon, aku minta maaf, aku tidak pernah memberitahu engkau ke mana benang-benang jahitan engkau selalu hilang... mungkin APIS sendiri tidak pernah memberitahu engkau!!).

Dan kemudian, bagaikan layang-layang mekanikal, aku dan APIS akan berlari-lari mengikut ke mana sahaja pepatung ini terbang. Seolah-olah kami sendiri yang sedang berlari-lari di balik awan, di taman kayangan berkejaran dengan puteri impian kami! Ah! Kalau sahaja aku bertemu APIS kini, kami tentu sahaja ketawa mengingati memori bodoh ini!



Impian kadang-kadang tidak akan tercapai. Apa yang engkau mimpikan kadang-kadang, akan hanya menjadi kenangan yang manis untuk diingati tetapi mustahil untuk dipenuhi! Tanyalah diri – ketika engkau kecil dahulu, apa yang engkau mahu? Apa yang menjadi impian mu? Adakah kini ia menjadi kenyataan di hadapan mata?



Kadang-kadang bila aku berbaring di atas tanah berdebu bersama APIS dahulu, dan ketika perhatian kami tertumpu di atas langit sana, kami akan melihat kapal terbang yang begitu kecil, meluncur ke satu destinasi yang tidak kami ketahui.

Kami sering berbincang, ke arah mana kapal terbang itu pergi. Sekali lagi imaginasi kami berbicara. Bahawa kapal-kapal terbang itu membawa penumpang mereka ke sebuah negeri yang tidak ada kesusahan. Negeri di mana semua orang bergembira. Tidak ada peperangan dan tidak ada tangisan.

Bodoh kah kami berfikiran seperti itu? Dangkal kah fikiran kami kerana memikirkan yang bukan-bukan? Entah! Aku sendiri tidak dapat menjawabnya dan aku pasti kalian juga tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan hati ku.

Tetapi cuma satu yang aku pasti, kita selalu menginginkan kehidupan yang indah untuk diri kita sendiri. Kita selalu mengimpikan bahawa nasib yang baik akan selalu menemani langkah kehidupan kita. Bukan kah itu naluri semula jadi manusia?

Ah! Memang benar sebagai mana kata ASRUL MUZAFFAR ketika kami berbual lewat perjalanan menghantarnya pulang ke rumah (ketika dia datang ke Gelang Patah, Johor) suatu waktu dahulu:



IN EVERY WISH, THERE WILL COME A CURSE (PADA SETIAP IMPIAN PASTI ADA SUMPAHAN) – Pepatah Inggeris.



Dia memberikan contoh yang ampuh. Dan aku tidak dapat tidak, terpaksa mengakui kebenaran kata-katanya. Pada setiap pilihan yang kita lakukan, pasti akan ada kekurangannya. Pada setiap yang kita impikan, kita harus menerima segala kesakitan yang datang bersama impian kita itu.

Lalu aku teringat kembali ketika kami bermain polis-pencuri di dalam hutan kelapa sawit di belakang rumah (sebagai mana artikel ku yang terdahulu bahawa aku dibesarkan bersama datuk dan nenek ku di sebuah FELDA), bersama APIS, AZMI (dengarnya dia sudah berkahwin dan mempunyai lima orang anak!), AZLI (kembar AZMI), SALLEH dan MAMAT.

Aku, APIS, SALLEH dan MAMAT yang selalunya menjadi penjahat. Kami akan berimaginasi kononnya kami telah mencuri barangan yang paling berharga di dunia ini dan kamilah penjahat yang paling ditakuti oleh semua orang. Hmmm.. kecuali dua orang polis yang paling hebat di dunia pada ketika itu, iaitu AZMI dan AZLI! (heh!).

Apa yang aku mahu katakan kepada mereka jika aku berjumpa dengan mereka kini ialah betapa tidak berjaya nya aku menjadi penjahat yang di takuti. Bahawa aku tidak dapat terbang dengan sayap besar untuk bertemu dengan raja kayangan dan tinggal di dalamnya.

Cuma yang boleh ku katakan kepada APIS, itu pun jika aku bertemu dengan dia lagi, aku telah menaiki kapal terbang yang kami bualkan dahulu, cuma aku tidak pergi ke negeri yang tidak punya kesusahan. Aku tidak pergi ke negeri yang tidak ada tangisan langsung.

Bahawa aku telah menjadi lelaki dewasa yang sudah tidak percaya dengan mimpi kanak-kanak dahulu. Bahawa aku telah berpijak di bumi nyata yang sudah tidak ada kegembiraan sebagai mana kegembiraan seorang kanak-kanak bila diberikan duit walau hanya sepuluh sen untuk membeli gula-gula! SELAMAT DATANG KE DUNIA ORANG DEWASA!

Tetapi mungkin cuma satu ini sahaja yang boleh ku beritahu kepada APIS, bahawa aku telah “terbang” di atas langit sana walau bukan dengan sayap-sayap pepatung itu. Aku telah merasa betapa dinginnya udara di atas sana.

Dengan membiarkan ilham ku meluncur bagaikan kenangan yang menjadi alur sungai nyata – Aku telah menjadi pari-pari yang berterbangan itu, akulah putera raja dan puteri raja itu dan akulah raja gagah yang sedang bertarung!
 
Anyaman rasa John Norafizan pada waktu 9:27 PG, |

0 Comments: