Monolog

Jumaat, Julai 28, 2006
Monolog ini untuk engkau yang hilang dalam memoriku. Yang tidak mungkin akan
hadir kecuali pada bait-bait puisi sayu. Puisi yang tiada daya kecuali
menghambat rasa sesalku. Atau adakah engkau telah tahu, bahawa aku akan
terhukum sebegini di saat aku meninggalkan engkau dahulu?

Perjalanan hidup kini jadi sedu. Ilham pudar dan tiada rasa. Derita
bermaharaja lela. Aku mahukan kebahagiaan tetapi dimanakah kebahagiaan? Oh!
Kesepian. Ke manakah rindu yang sekian lama engkau laung laungkan? Di
manakah simpati yang telah engkau semadikan sejak lama dahulu?

Aku sendiri jadi sangsi dengan diriku. Aku jadi sangsi pada keterlanjuran
cinta yang tidak bertepi. Aku mahukan satu perjuangan ikhlas yang tidak akan
pudar ditelan masa. Tetapi mampukah aku?

Kelam malam yang sepi bagaikan bercengkerama dalam irama syahdu, melagukan
keindahan dan melagukan suara sayu.

Mana engkau yang hilang dulu?
Yang selalu menggores senyum tatkala kita beradu,
Yang tiap hari sabar menunggu ku pulang dengan restu,
Yang tidak pernah lupa membuang ketakutanku pada perjalananan waktu,

Mana engkau yang dulu?
Mana senyum engkau yang dulu?

Atau adakah aku yang telah terlupa,
Bahawa engkau telah lama tiada,
Bahawa engkau tidak mampu lagi tertawa,
Bahawa kehidupanmu bukan lagi di dalam fana,

Di tepi malam,
Aku bungkam,
Rindu kepada engkau semakin kelam,
Hilang perlahan dalam pudar semalam...
 
Anyaman rasa John Norafizan pada waktu 8:55 PG, |

1 Comments:

  At 3:54 PTG Anonymous Tanpa Nama said: