Sneak Peak 4: Cinderella Cinta

Jumaat, Julai 14, 2006
Rintik-rintik hujan di luar menjadi selingan muzik yang menemani Mia malam itu. Tidak ada sesiapa kecuali Mia dan kenangan lama. Kenangan dan beberapa kotak yang tersusun kemas di hadapan Mia. Dia sudah lama tidak melihat isinya. Semenjak pemergian Edri, kotak-kotak itu telah ditinggalkan sendirian di bawah katil, sedikit berhabuk dan dilupakan di dalam waktu yang semakin ditinggalkan sepi.
Mia tersenyum seketika sebelum membuka kotak yang paling besar sekali. Dia tahu apa yang ada di dalamnya – gambar-gambar kenangan ketika dia dan Edri berada di puncak bukit berdekatan dengan pelabuhan Dover dahulu. Kenangan yang terlalu indah dan sukar dilupakan.
Ingatannya segera terbang ke dalam kenangan lalu, membawa dia menyusuri jalan memori bersama Edri. Di atas bukit pelabuhan Dover sambil melihat mentari musim panas tenggelam dengan malas. Cuma dia dan Edri. Dan sebatang lilin.
Ketika itu, senyuman Edri bagaikan mentari yang memudarkan cahaya seribu mentari lain. Malah lebih dari itu. Dan mereka begitu riang berbicara tentang apa sahaja. Tentang alam, tentang kehidupan mereka berdua dan masa hadapan yang akan mereka lalui bersama.
Dia masih ingat dengan soalan yang ditujukan kepada Edri – adakah Edri akan mencintai Mia sehingga nafas terakhir lelaki itu melayang dari tubuh?
Edri tidak berkata apa-apa. Dia hanya sekadar tersenyum. Tapi di saat itu, Mia tidak memerlukan sebarang jawapan dari Edri. Jawapan nya sudah ada pada Mia. Jawapan yang diperlukan Mia ada pada setiap bintang yang mereka lihat malam itu. Seluruh kehidupan Edri adalah untuk Mia. Dan wajah malam mengukir setiap janji yang diluahkan. Dengan bersaksikan sebatang lilin.
Mia bertanya lagi, adakah Edri sanggup berkorban demi cinta terhadap Mia? Dan sekali lagi Edri tersenyum.
Wajah yang mengukir senyum itu bagaikan bara api musim salju yang memanaskan. Edri adalah rintik-rintik hujan yang memberikan nafas hidup ketika tanah menjadi gersang dan mentari bersinar terik. Lalu kenapa pula Edri tidak sanggup berkorban demi seorang Mia?
“Mia, ma cherie je t’aime!” Itulah yang diucapkan Edri – Aku cintakan engkau, Mia – Mia hanya mampu tertawa kecil. Dia seolah-olah tidak dapat menahan rasa geli hatinya.
“Aku tak tahu pun yang engkau boleh berbahasa Perancis?”
“Hanya untuk engkau, aku sanggup melakukan apa saja, termasuk belajar bahasa asing!”
Dan sehingga ke pagi, mereka tetap bersama, menyaksikan setiap pukulan ombak memecah pantai, kapal-kapal besar yang berlabuh di pelabuhan dan kabus pagi yang mula menyelubungi alam.
Ah! Itu cerita lama. Cerita yang tidak pernah hilang di dalam air mata yang tetap mengalir selamanya. Kata-kata Edri begitu manis tetapi lihatlah sekarang? Di manakah janji yang dilafazkan oleh Edri malam itu?
Namun, mampu kah dia menguburkan setiap kenangannya dengan Edri? Mia mengeluh sayu. Ada sesetengah perkara di dalam dunia ini yang boleh dilupakan dan ada sesetengah nya yang tidak!
Tangan Mia pantas menyelongkar setiap gambar-gambar itu. Tetapi dia hanya melihat nya sekilas lalu. Dia tidak mahu melukakan sekeping hatinya yang sudah sedia terluka itu. Dia hanya mahu mencari sesuatu. Tetapi sesuatu yang dicari nya itu masih lagi tidak dijumpai.
Kotak demi kotak dibuka, helaian demi helaian diselak, foto demi foto diselongkar tetapi Mia tidak bertemu apa-apa. Hatinya mulai putus asa.
Tetapi pada ketika dia mulai menyusun kembali foto-foto yang berselerakan di atas lantai, Mia terpandang sesuatu. Sesuatu yang dicari nya sejak dari tadi lagi. Sekeping surat. Satu-satu nya surat dari Edri ketika dia berada di Malaysia dahulu!
Hati Mia berbunga kembali. Ah! Mungkin tadi, di dalam keadaan tergesa-gesa, Mia tidak perasan dengan surat itu. Lantas terus sahaja dia membuka nya. Sekeping gambar seorang lelaki yang sedang tersenyum ke arahnya. Mia tersenyum kembali. Itu Edri di hadapan rumahnya di Malaysia. Surat yang dihantar ketika Edri balik bercuti ke Malaysia dulu. Mia mulai membaca apa yang tertulis di dalam surat itu.

Mia yang aku sayang,
Baru seminggu aku balik ke Malaysia tapi aku sudah mulai rindu pada engkau, Mia. Ah! Kita baru sahaja berbual tadi tapi kerana rindu yang amat sangat, lantas kerana itulah aku tulis surat ini untuk engkau. Aku mahu hatiku tenang bila mengenangkan engkau di sana.
Aku tahu aku terlalu mencintai engkau, Mia. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah kenyataan ini. Bahawa engkau telah dijadikan hanya untuk aku dan aku untuk engkau. Cinta kita melepasi segala rintangan. Janji kita melepasi setiap mimpi dan harapan.
Sudah kah engkau melihat gambar yang aku kirimkan bersama? Inilah rumahku di Malaysia. Rumah ibu angkatku yang telah membesarkan aku sejak dari kecil lagi. Aku telah terhutang budi kepadanya dan aku tidak akan sesekali menderhaka pada perempuan tua itu.
Mia,
Apa yang sedang engkau lakukan di sana? Adakah engkau sedang rindu pada ku? Jika benar, maka sabarlah. Aku akan balik minggu hadapan.
Semoga cinta kita akan tetap bersinar selamanya!


Yang amat mencintai,
Edri
No. 4, Jalan 8/20,
Perjiranan 8, Taman Air Biru,
81700 Pasir Gudang,
Johor, Malaysia.

Mia tersenyum kecil. Itulah yang dicari nya tadi, alamat rumah Edri di Malaysia. Inilah satu-satu nya surat yang dihantar Edri dari Malaysia. Tidak ada surat yang lain kerana di dalam tempoh lima tahun pembelajaran mereka, Cuma cuti tiga minggu itu sahaja Edri balik ke Malaysia. Cuti selebihnya dihabiskan dengan aktiviti Mercy Manchester bersama Mia di sisi.
Ah! Mia tersentak seketika. Kenapa baru sekarang dia mencari Edri? Tidak beberapa bulan yang lalu? Kenapa baru sekarang?
Aku tak tahu!
Engkau sengaja mencari alasan supaya Victor tak dapat mencintai kau!
Tak... ada perkara lain yang terlalu pahit untuk aku terima...
Tidak ada alasan lain, Mia!
Mia mengeluh panjang. Dia cuba untuk menenteramkan hatinya seraya mencapai sehelai kertas dan sebatang pen. Namun entah kenapa ada sesuatu yang membuatkan dia membatalkan hasrat nya.
Bagaimana nanti kalau Edri masih di Pakistan? Ah! Hatinya penuh dengan kekeliruan. Atau adakah lelaki yang dicintai itu telah kembali semula ke Malaysia lalu terus mendirikan rumah tangga? Mungkin dia harus melupakan sahaja niat untuk mencari Edri di Malaysia. Kalau Tuhan masih mahu mempertemukan dia dengan Edri dan jodoh mereka masih kuat, pasti dia akan bertemu dengan Edri di Pakistan nanti...
Ego engkau terlalu tinggi, Mia! Ego engkau terlepas dari dunia ini!
Aku... aku tak tahu sama ada dia sudah ada di Malaysia sekarang ini.
Kau memang ego! Sehingga sekarang pun engkau tidak mahu menulis surat pada dia!
Tidak! Aku cuma tidak tahu sama ada Edri masih lagi tinggal di alamat itu atau tidak...
Alasan! Seribu alasan yang tak munasabah!
Mia akhirnya mengalah pada perasaannya sendiri. Dia mencapai kembali kertas tadi lalu mulai menulis. Namun fikirannya buntu. Yang benar dia tidak tahu apa yang harus ditulis nya kini. Oh! Tuhan, kenapa begini? Edri adalah lelaki yang paling dicintai tetapi kenapa untuk menulis sebaris ayat pun, Mia tidak mampu? Adakah perpisahan sementara ini membuatkan hatinya terus dingin dan beku pada kenangan cinta semalam?
Engkau bohong! Engkau sudah tak mencintai Edri lagi!
Tidak! Aku tetap mencintai Edri selama-lamanya!
Perasaannya benar-benar kusut. Fikirannya entah menerawang jauh ke mana-mana walaupun tangannya pantas mencapai komputer riba di sisi lalu terus menaip perkataan “Edri” dan “Pasir Gudang” di dalam laman WEB pencarian Yahoo.
Mia, apa yang kau buat ni?
Jangan tanya aku. Aku benar-benar tak tahu!
Tujuh tajuk halaman WEB tertera di skrin komputernya tetapi tidak ada satu pun yang menunjukkan kepada lelaki yang amat disayangi nya itu. Kemudian, dengan hati yang masih kusut, Mia menaip pula perkataan “Taman Air Biru” dan “Pasir Gudang”. Diari on-line (blog) seorang gadis segera muncul di skrin komputer. Gadis rindu dari Taman Air Biru – itulah tajuk blog yang sedang dilayari nya kini.
Nama Ona terpampang besar di muka hadapan diari nya itu. Hati Mia tertanya-tanya. Pasir Gudang? Bukankah Edri juga tinggal di Pasir Gudang? Mia memeriksa kembali surat Edri dan alamat rumah Ona di ruang biodata gadis itu.

No. 2, Jalan 20/1, Perjiranan 1,
Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor.

Alamatnya sama dengan alamat rumah Edri. Dan hatinya tiba-tiba menguntum senyum. Dia tidak perlu menulis surat kepada Edri. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menulis e-mel kepada Ona biar gadis itu yang mencari Edri.
Oh! Mia... kenapa engkau terlalu bodoh?
Kenapa?
Jika engkau mahu mencari cinta yang hilang, maka kau sendiri yang kena berusaha. Bukan melalui orang lain!
Tapi sama sahaja... Ona pasti dapat mencari Edri!
Kau memang gila, Mia!
Kali ini Mia tidak lagi mempedulikan kata hatinya. Biarlah! Dia bukan tidak mahu mencari Edri lagi. Bukankah dia ke Pakistan juga untuk mencari Edri? Lagipun Mia tahu Edri masih lagi di negara itu dan bukan di Malaysia. Tapi kalau benar-benar Edri sudah balik ke Malaysia, maka Ona ada untuk memberitahu Mia. Jadi segala-galanya benar-benar berpihak kepada Mia. Apa yang mahu ditakutkan lagi?
Dia mula membaca perenggan pertama yang tertulis di dalam diari maya itu:

Kesunyian begitu mengagumkan. Kadangkala ia dapat membawa kenangan manis lalu menenangkan hati yang gundah. Tetapi kenangan itu akan segera terpadam bila kita sedar bahawa tidak ada sesiapa yang dapat berkongsi dengan kemanisan itu. Dan hati kita akan tercalar pedih. Mengenangkan kisah lalu. Mengenangkan hari esok yang tidak pasti.
Ah! Adakah sesiapa di luar sana yang tahu betapa hati seorang gadis ini sedang merintih pedih? Bahawa gadis ini sering terluka di dalam cinta? Bahawa gadis ini terlalu rindukan seorang insan bernama lelaki buat menjadi tempat bergantung nya?
Itulah aku dan selamanya aku akan menjadi seperti itu – orang yang kecewa dan tidak pernah merasai walau secebis bahagia.
Kenapa manusia sering merana kerana cinta? Adakah kerana dia terlalu ego atau terlalu jujur?
Diari ini adalah untuk berkongsi kesepian dengan orang seperti aku – gadis yang mencari cinta yang hilang, gadis yang terkecewa kerana cinta dan setiap orang yang rindukan masa silam mereka!
Aku tidak meminta apa-apa, sekadar berkongsi luahan perasaan. Semoga kita sama-sama dapat menolong di antara satu sama lain di dalam mengharungi hidup yang penuh dugaan menyakitkan ini.

Hati Mia bergetar. Oh! Tuhan. Dia juga seperti gadis ini. Dirinya juga gagal dalam bercinta. Dia telah terkecewa dan kini sedang mencari cinta yang hilang. Ona memang benar-benar senasib dengannya!
Mia mengangguk perlahan-lahan. Kalau dia tidak punya kekuatan lagi untuk menitipkan sebarang kata kepada Edri, sekurang-kurangnya dia boleh meminta Ona mencarikan Edri (jika lelaki itu sudah ada di Malaysia atau sebaliknya). Ona pasti tidak akan menolak. Nasib mereka sama. Dan seperti kata Ona, mereka harus tolong menolong di antara satu sama lain!
Dia telah membulatkan tekad nya. Dia akan mencari sendiri Edri di Pakistan dan pada masa yang sama meminta Ona memastikan Edri belum lagi balik ke Malaysia. Perancangan yang sempurna. Tuhan pasti akan menolong niat nya yang suci ini. Jari-jemari nya pantas menaip sesuatu.
Kau jangan menyesal, Mia!
Aku tak pernah menyesal.
Benar kau tak menyesal?
Tidak...
Kau kena faham, kadang-kadang takdir berputar di dalam keadaan yang tidak tersangka...
Tidak. Aku benar-benar tak akan pernah menyesal!
 
Anyaman rasa John Norafizan pada waktu 8:48 PG, |

3 Comments:

bro,

aku type 'Edri' dan 'Pasir Gudang' kat Yahoo jumpa satu link je.... Israel's Trade Portal.. hehe
bro,

kalau nak lagi real ko create lah blog 'Gadis Rindu dari Taman Air Biru'.. sure class punya...

macam cerita Invasion.. one of the character create blog.. blog tu memang exist kat internet...
  At 8:24 PG Anonymous Tanpa Nama said:
kah! kah! Kah! good idea gak.. nanti la bile buku tu siap and published baruler aku buat blog tu hehehe