Sonet untuk pelangi: REVISITED

Jumaat, Julai 21, 2006
Bila melihat pelangi mewarna dada petang di dalam hujan lebat di bawah sinar mentari yang terang, entah kenapa aku tiba-tiba tersadung rindu. Mungkin kerana pelangi itu cukup pantas memikat hatiku. Mungkin juga aku pernah menyaksikan panorama yang sama satu ketika dahulu di suatu tempat yang pernah dan tetap menjadi tempat kesayanganku sampai bila-bila.

Bila bercerita tentang pelangi aku tiba-tiba disentuh satu semangat baru. Bagaikan digaru-garu untuk menjejaki kaki pelangi supaya aku dapat ke langit sana dan terbang bebas bagaikan burung.

Atau setidak-tidaknya mimpiku yang terbang tinggi menjadi kenyataan yang abadi...

Semua orang menginginkan agar impian mereka terlaksana. Semua orang mahu bergembira dan mengharapkan cita-cita mereka terlaksana.

Cuma metoda dan kecapaian mereka yang menjadi pengukur darjah kegembiraan itu. Maksud ku, mereka mungkin mahu menjadi juru terbang, tetapi mereka hanya mampu menjadi peramugara (atau peramugari).. Natijahnya sama tetapi metodanya berbeza.. mereka tetap terbang di atas sana walau dalam bentuk yang berbeza.

Nah! Usah kalian menidakkan suratan.. Kegembiraan itu di mana-mana walau pun jauh terperosok ke lembah bumi.. Di atas sana atau jauh di bawah sini adalah dunia milik Tuhan.. Semuanya milik Yang Abadi. Kita harus bersyukur dan bergembira dengan keaadan kita yang seperti ini.

Dia lebih tahu segala-galanya...

Ah! Celoteh pelangi menjadi berita tentang kehidupan pula! Maafkan aku.. cuma aku tidak dapat tidak terpaksa memberitahu bahawa kita semuanya adalah milik Tuhan. Dan kerana itu, atas segala yang kita lakukan adalah untuk-Nya. Tidak ada kegembiraan yang lebih hakiki dari mendapat redha Ilahi.

Di bawah langit merundum Hujan,
Aku akur bahawa kita cuma peminta,
Secarik bahagia dala sekelumit waktu,
Yang bahagia bukannya sendiri,
tetapi kepuasan dalam membahagiakan orang lain..
Di bawah restu-Nya...

Mungkin juga benar bila kita berusaha dengan kuat, Tuhan akan membalasnya sepadan dengan usaha yang kita taburkan itu. Alhamdulillah jika kita dalam berjaya. Tetapi usah menyalahkan takdir jika segala-galanya bagaikan memusuhi kita.

Siapa tahu nanti, ada lagi kejayaan yang lebih agung untuk kita nikmati?

Ah! Mengelamun lagi tentang kehidupan!!!!

Yang benarnya, aku cuma mahu mengingati diri bahawa suatu hari nanti aku akan berehat dari perjalanan tanpa pasti ini. Bahwa suatu hari nanti, kesan tapak kaki ku akan hilang di bawa angin lalu.. terbang bagai kuntum-kuntum Dandelion dan hilang di padang rumput yang seluas langit biru.

Seperti pelangi, cantiknya yang hanya untuk seketika..

Seperti pelangi, suatu masa akan pergi jua....

Seperti pelangi, aku juga akan menemui Penciptaku,

Seperti pelangi, untuk sekejap cuma.....
 
Anyaman rasa John Norafizan pada waktu 7:47 PG, |

2 Comments:

  At 7:55 PTG Anonymous Tanpa Nama said:
  At 2:56 PTG Anonymous Tanpa Nama said:
best regards, nice info Ritalin+and+weight+loss gay