Taman Rindu

Khamis, Julai 20, 2006
TAMAN RINDU



Taman rindu di balik pelangi,

Yang airnya tidak putus-putus mengalunkan lagu pagi,

Menyusur waktu di balik kilau wangi,

Warna mimpi dalam cahaya yang berseri..



Di taman rindu dedaunannya tidak pernah hilang,

Walau musim luruh merangkak datang,

Dedaunnya berkilau bagai emas gemilang,

Dan bila musim bunga berdiri di pintu gerbang,

Dedaunnya jadi hijau dalam alam yang cemerlang..



Aku tahu! Aku tahu!

Engkau pasti menangis pilu,

Bagaimana lagi mahu mengetuk ke taman rindu,

Bila pintunya telah hilang dan engkau jadi kelu dalam sendu,

Bagaimana lagi mahu bermimpi rindu,

Bila mimpi mu gelap dan tiada restu,

Bagaimana lagi mahu bernyanyi rindu,

Bila dia yang tersayang telah pergi dari sisi mu!



Aku tahu! aku tiada kata lagi,

Untuk berbicara pada mu tentang mentari,

Kerana aku sendiri pernah terluka di taman ini,

Tetapi taman rindu sendiri yang membangkitkan aku dari mimpi ngeri....



Katanya,

Engkau tidak boleh mengetuk rindu selalu,

Kerana nanti engkau akan terlupa,

Bahawa banyak lagi pintu dalam ruang perjalanan hidup mu,

Katanya,

Engkau tidak boleh bermimpi rindu selalu,

Kerana nanti malam mu akan jadi penasaran dan terluka,

Dan engkau tidak boleh selalu bernyanyi rindu,

Kerana nyanyian rindu itu adalah bunga semusim

Dan kadangkala gugur sebelum tiba waktunya…





ii.



Taman rindu tetap ada di situ,

Dalam hati setiap pertemuan mu,

Dan engkau tidak perlu mengesat air mata mu,

Kerana ramai yang akan datang membantu…
 
Anyaman rasa John Norafizan pada waktu 8:00 PG, |

0 Comments: