Temuramah bersama John Norafizan
Isnin, Oktober 16, 2006
Shaidah Shafie / Bicara Pengarang
1) John dari latar pendidikan kejuruteraan, bagaimana boleh berminat dengan karya kreatif?
Semenjak dari kecil lagi saya suka membaca, tidak kiralah bahan bacaan ilmiah, karya kreatif mahupun komik-komik yang banyak berada di pasaran pada ketika itu. Saya suka melihat bagaimana kehidupan manusia itu berputar dengan pelbagai ragam dan dugaan. Dan satu-satunya cara untuk menyaksikan semua ini di dalam satu masa adalah melalui pembacaan. Tetapi kemudian, saya menjadi jarang membaca karya-karya kreatif kerana lebih menumpukan kepada pembelajaran dan aktiviti persekolahan.
Minat itu datang kembali bila saya terdedah dengan bahan-bahan bacaan daripada pengarang barat seperti Carl Sagan (Contact) dan Micheal Crichton (Jurassic Park) semasa saya belajar di luar negara dahulu. Apa yang menariknya, penulis-penulis ini berjaya menghasilkan novel kreatif berdasarkan konsep sains dan teori tanpa mencacatkan perjalanan plot cerita itu sendiri. Mereka bukan dari latar belakang sastera tetapi penulisan mereka benar-benar mengagumkan peminat-peminat karya kreatif.
Ia membuatkan saya terfikir bahawa latar pendidikan seseorang itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meminati karya-karya kreatif. Jika dilihat di luar negara pun, penduduk-penduduknya akan mengambil kesempatan untuk membaca jika ada masa yang terluang. Sama ada ketika waktu rehat di pejabat, ketika makan, atau menunggu seseorang, saya lihat mereka gemar untuk membaca. Dan kebanyakannya bekerja bukan di dalam pekerjaan yang melibatkan kesusasteraan.
Mungkin itulah yang membuatkan timbul kembali minat kepada karya-karya kreatif ini.
2) Apakah yang menggerakkan John untuk berkarya?
Semuanya bermula bila saya menganggotai RELEXJAP, sebuah e-kumpulan Yahoogroups di alam siber pada akhir tahun 2001 di atas tujuan suka-suka. RELEXJAP adalah wadah komunikasi ahli-ahlinya di mana sesiapa sahaja boleh menulis apa sahaja dan ia akan disiarkan di dalam e-kumpulan itu untuk menjadi tatapan semua. Kadang-kadang bila ada artikel yang menarik tersiar, ahli-ahlinya akan memberi komen atau perangsang kepada penulis artikel itu.
Saya yang ketika itu baru sahaja balik dari luar negara memang mempunyai banyak pengalaman mengembara ke negara-negara Eropah, India, Pakistan, Timur Tengah dan Amerika Utara. Melihatkan artikel-artikel yang tersiar di dalam e-kumpulan itu membuatkan saya berminat untuk berkongsi pengalaman-pengalaman saya ini.
Di atas rasa suka-suka juga, saya mulai menulis tentang pengalaman-pengalaman saya berada di rantau orang ini. Daripada situ, saya mereka perjalanan cerita watak-watak fiksyen pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara dan cabaran-cabaran yang harus mereka tempuhi di bumi asing itu. Ramai yang menyukainya. Dari satu bab menjadi dua bab. Dari dua bab menjadi tiga bab dan seterusnya sehingga saya yakin bahawa saya mampu untuk pergi lebih jauh di dalam bidang penulisan ini.
Melalui RELEXJAP juga saya mulai mengenali penulis karya kreatif terkenal tanah air, Liana Afiera Malik. Kak Liana banyak memberikan galakan untuk saya berkarya secara aktif. Dan Alhamdulillah, setelah menghasilkan dua novel dan sedang menyiapkan novel yang ketiga sekarang, saya tidak menyesal kerana mengikut segala nasihatnya.
3) Boleh ceritakan sedikit mengenai proses kepengarangan John?
Saya tidak mempunyai satu proses pengarangan yang khusus. Selalunya bila saya mendapat idea yang boleh diketengahkan untuk dijadikan novel, saya akan menulis ringkasan novel/manuskrip itu dari mula hingga akhir. Ringkasan ini hanya sebagai landasan untuk saya menulis kerana ada kalanya bila novel itu siap, ia berlainan sekali dengan ringkasan yang saya tulis itu.
Bagi saya, apa yang lebih penting adalah penghayatan watak-watak di dalam cerita itu sendiri. Jika kita tidak dapat menyelami watak di dalam novel yang kita tulis dengan sepenuh hati kita, maka apa yang kita tulis tidak akan memberi kesan kepada pembaca. Saya harus menjadi watak-watak itu, hidup di dalam dunia mereka dan berhadapan dengan kehidupan ini sebagai mereka bukan sebagai diri saya lagi.
4) Sebagai penulis, apakah mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak ketika berkarya?
Saya gemar untuk mengajak pembaca mensyukuri kehidupan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia. Walau apa pun nasib yang menimpa seseorang, pasti ada jalan untuk mengatasinya. Tidak ada sesiapa yang akan dapat mengubah nasib seseorang itu kecuali dirinya sendiri.
Dan itulah yang saya mahukan. Biar mereka yang membaca karya-karya saya akan menjadi lebih tabah dan kuat dalam mengharungi kehidupan masing-masing.
5) Adakah John pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang penulisan?
Secara jujurnya, saya tidak pernah melalui pendidikan formal di dalam bidang penulisan. Guru-guru dan mentor-mentor saya adalah mereka yang telah menghasilkan karya-karya yang berjaya membuka mata masyarakat seperti Hamka, A. Samad Said, Abdul Talib Hasan, Khadijah Hashim, Paulo Coelho, John Irving dan Nick Hornby.
Saya juga banyak membaca buku-buku panduan bagaimana menghasilkan novel yang baik kerana saya menganggap bahawa diri saya masih lagi mentah di dalam mengharungi dunia penulisan kreatif ini. Dan saya tidak malu untuk mengatakan bahawa saya masih lagi belajar sehingga kini.
6) Lazimnya tema apakah yang dikemukakan dalam karya? Kenapa?
Saya kerap menggunakan tiga tema ini di dalam novel-novel saya; ketuhanan, kasih sayang dan persahabatan. Bagi saya, seorang penulis itu bertanggung jawab untuk mendidik masyarakat menjadi manusia yang menghargai kehidupan mereka dan kehidupan manusia di sekitar mereka. Dan yang lebih penting lagi, kita sedar bahawa apa yang kita lakukan akan dilihat dan dinilai oleh Tuhan yang maha Esa.
7) Kenapa John berminat dengan karya kreatif? Lebih-lebih lagi novel popular
yang sering dianggap tidak mementingkan kualiti dan picisan?
Pendapat saya, tidak ada bezanya karya kreatif dengan karya-karya berat yang selalu dianggap sebagai karya yang sastera yang sebenar. Yang ada cuma pandangan pihak-pihak tertentu yang cuba mengklasifikasikan bahan bacaan kepada dua kelompok yang berbeza. Novel adalah luahan hati seorang penulis. Bagaimana dia melengkapkan sesebuah karya adalah terpulang kepada individu tersebut. Dalam setiap karya kreatif pasti ada pujian dan kritikannya.
Kerana itu juga, saya rasa bertanggungjawab untuk menukarkan persepsi masyarakat yang mengatakan bahawa karya kreatif ini hanyalah karya picisan. Seorang penulis itu boleh menulis karya yang bermutu dan pada masa yang sama juga ia boleh dikategorikan sebagai karya kreatif. Jika setiap penulis mempunyai harapan dan pandangan yang sama seperti saya, saya rasa tidak ada bezanya lagi di antara karya kreatif dan karya berat itu.
8) Dalam berkarya, apakah keutamaan yang ditekankan John?
Saya cuba menitik beratkan realiti kehidupan yang sebenar di dalam setiap novel saya. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu novel-novel saya punya pengakhiran yang bahagia sahaja. Berapa kerat manusia yang merasa bahagia dengan kehidupannya? Kita dibelenggu dengan segala macam dugaan dan kepahitan yang terpaksa kita tanggung. Mungkin kita tidak sengsara tetapi kita juga tidak punya kebahagiaan yang sempurna.
Itulah yang saya cuba tunjukkan di dalam hasil karya saya.
9) Sebagai individu yang pernah terdedah kepada bahan bacaan luar negara, adakah John turut dipengaruhi gaya penulisan penulis Barat?
Saya bukan sahaja terpengaruh dengan gaya penulisan penulis-penulis barat tetapi juga dengan gaya penulisan penulis-penulis tempatan. Seperti yang saya katakan tadi, guru-guru saya adalah buku-buku yang saya baca. Bilik darjah saya adalah tempat di mana saya punya masa untuk membaca dan menghayati setiap cerita yang dibaca.
Sebagai seorang penulis, kita bukan sahaja hanya membaca tetapi pandai untuk menghayati bentuk penulisan penulis-penulis lain. Dan setelah kita faham gaya penulisan mereka yang berbeza-beza itu, barulah kita tahu gaya penulisan kita sendiri dan bagaimana kita mahu memperkembangkannya menjadi lebih baik lagi.
10) Pada pandangan John, kenapa novel Barat boleh bertahan lama di pasaran
dan berupaya diulang cetak sedangkan penulis kita tidak mungkin mencapai tahap sedemikian?
Tidak dinafikan bahawa novel-novel Barat boleh bertahan lama daripada novel tempatan. Tetapi kita mesti ingat, khalayak yang membacanya adalah terlalu ramai dan kebanyakan orang di barat menjadikan pembacaan sebagai salah satu hobi masa lapang mereka. Kerana itu pelbagai genre dapat dihasilkan dan novel-novel mereka bertahan lama kerana generasi-generasi yang seterusnya masih lagi menghargai karya-karya yang dihasilkan berpuluh-puluh tahun yang lampau kerana setiap genre-genre ini mempunyai pengikut-pengikut yang ramai.
Lihat sahaja buku Lord of the rings (J.R.R. Tolkien) dan buku To kill a mocking bird hasil karya Harper Lee. Walaupun telah lama diterbitkan tetapi generasi muda mereka masih lagi menghargai karya-karya penulis ini. Tetapi jika ditanya kepada remaja-remaja kita sekarang, adakah mereka masih lagi mengingati karya-karya lama penulis tempatan seperti Mia Edora dan Salina (sekadar menyebut beberapa nama)? Saya pasti ada juga yang tidak mengetahui kewujudan karya-karya ini!
Mungkin apa yang perlu dilakukan adalah memupuk dahulu minat membaca di kalangan semua generasi di Malaysia agar karya-karya penulis tempatan menjadi tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Tapi kadang-kadang, sukar juga untuk menghalakan kesalahan ini ke atas satu pihak sahaja. Kita tidak boleh menyalahkan pembaca atau penulis itu sendiri mahupun pihak-pihak tertentu yang sepatutnya mempromosikan novel-novel tempatan tetapi tidak melakukannya secara bersungguh-sungguh.
Mungkin kita perlukan satu keajaiban!
11) Novel terbaru yang diusahakan...
Saya sedang dalam proses pembikinan novel ketiga saya yang berjudul Cinderella Cinta. Ia adalah cerita yang paling sukar untuk saya karang setakat ini. Saya cuba menggunakan pendekatan yang jarang dilakukan oleh penulis lain di Malaysia iaitu memfokuskan kepada satu watak dan bagaimana watak-watak lain berkembang melalui pandangan watak yang satu ini. Ia benar-benar mencabar saya untuk memikirkan plot yang menarik dan tidak akan membosankan pembaca.
Pada saya, novel kali ini adalah novel yang penuh dengan eksperimentasi. Dan saya harap saya dapat membawa sesuatu yang baru ke dalam dunia sastera di Malaysia ini.
12) Sastera difahamkan tidak ada satu pun perkataan Bahasa Inggeris dalam novel John. Kenapa?
Saya bukan tidak pandai berbahasa Inggeris. Malah di dalam bidang kerja saya sebagai seorang jurutera, saya banyak menggunakan bahasa Inggeris apabila berhadapan dengan pihak pengurusan dan pelanggan-pelanggan kami yang berasal dari luar negara. Tetapi saya menulis di dalam medium bahasa Melayu dan saya harus menghormati keagungan bahasa Melayu itu sendiri. Bagi penulis lain, mungkin mereka punya alasan kukuh dan tersendiri dan saya tidak punya masalah dengan persepsi sebegitu.
Bagi saya sendiri, saya melihat karya saya sebagai satu juadah makanan yang enak. Dan saya mahu berkongsi keenakan itu kepada semua golongan tidak kira sama ada mereka memahami bahasa Inggeris atau tidak. Adalah tidak adil jika karya saya hanya difahami oleh segolongan pembaca sahaja tetapi tidak kepada golongan yang lain. Banyak peminat-peminat saya adalah ibu-ibu yang sudah berumur lebih dari empat puluhan dan saya mahu memastikan bahawa kepuasan mereka adalah sama dengan kepuasan golongan muda yang tahu dan memahami bahasa Inggeris.
Tidak ada yang saya banggakan kecuali karya-karya saya diingati oleh semua golongan sampai bila-bila. Dan itulah harapan dan impian saya.

0 Comments:
« back home
Catat Ulasan