Tunjukkan Aku Satu Bintang: REVIEW

Jumaat, Oktober 06, 2006
Dari Rak Buku Carriekirana
Saya teruja untuk membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang setelah mendapat banyak komen positif dari pembaca-pembaca yang terlebih dahulu mendapatkan naskhah pra-cetak novel ini di Pesta Buku tempoh hari. Tunjukkan Aku Satu Bintang adalah sebenarnya sequel kepada novel Sempadan Tanpa Seri karya sulung John Norafizan yang diterbitkan tidak lama dulu. Saya lebih suka menyarankan supaya pembaca mendapatkan dahulu Sempadan Tanpa Seri sebelum membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang supaya pembaca lebih memahami perjalanan cerita Tunjukkan Aku Satu Bintang. Jikalau tidak, pastinya pembaca akan dihujani perasaan keliru dengan plotnya yang agak kompleks dan memerlukan pembacanya mencari jawapan di sebalik rentetan peristiwa yang berlaku dalam novel ini.

Untuk membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang, pembaca harus mempunyai fikiran yang terbuka kerana dalam karyanya kali ini, John mencipta satu perspektif tentang satu sudut kehidupan yang jarang-jarang dikupas oleh kebanyakan novelis Melayu. Ini adalah kerana, seperti Sempadan Tanpa Seri, plot TASB digarap menjangkaui plot tipikal yang sering digunakan oleh kebanyakan novelis Melayu, malah plot ini juga lain dari yang lain.

Tunjukkan Aku Satu Bintang juga sekali lagi membawa pembaca kembali ke Manchester ( latar belakang dalam Sempadan Tanpa Seri ) namun kali ini John membawa pembaca menjenguk satu kehidupan yang berbeza - seorang wanita Melayu di bandar Manchester yang bertarung nyawa dan pegangan hidup serta agamanya untuk membesarkan anaknya yang dilahirkan hasil kacukan Inggeris-Melayu, Daniel Parker. Watak Asnawi dalam Sempadan Tanpa Seri dihidupkan kembali dalam Tunjukkan Aku Satu Bintang untuk menyimpulkan satu kisah cinta terlarang yang berlaku sepuluh tahun yang lalu. Walau lama tidak muncul dengan novel baru, John masih mengekalkan gaya penulisannya tersendiri dalam Tunjukkan Aku Satu Bintang seperti mana dalam Sempadan Tanpa Seri.

Membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang adalah seperti menaiki sebuah roller-coaster yang berjalan merentasi pelantar kayu yang berbelit-belit. Ada rasa sedih, gembira, cemas dan tertanya-tanya. Garapan unik John dalam Tunjukkan Aku Satu Bintang tidak kurang hebatnya seperti Sempadan Tanpa Seri. Yang pasti, gaya tulisan John mampu menarik pembaca "melekat" untuk terus mengetahui kesudahan Tunjukkan Aku Satu Bintang.

Syabas John atas satu karya yang unik ! Lain dari yang lain! Saya suka Tunjukkan Aku Satu Bintang! Satu bintang yang terserlah di celah lambakan novel-novel Melayu di pasaran. Bagi yang gemarkan Rahsia Perindu, dapatkan Tunjukkan Aku Satu Bintang .

Rating: ****1/2 ( Memang best dijadikan koleksi peribadi- Plot kompleks yang lain dari lain) Sempadan Tanpa Seri,
Fana dalam mencari diri...
Tunjukkan Aku Satu Bintang,
Buat mewarna sesuatu yang telah hilang...


Dunia Novel

Untuk sebuah cinta aku sanggup menghadapi seribu luka....
Wah.... Kalaulah seorang lelaki berkata begini kepada aku....

Tunjukkan aku satu bintang.... Perjalanan cerita yang menarik dan John menggarap ceritanya begitu teliti dan berhati-hati namun tidak membosankan. Pengalaman menuntut di luar negara diterjemahkan terus ke dalam hasil tulisan beliau. Aku belum berkesempatan membaca karya pertamanya Sempadan Tanpa Seri. Ada yang berkata novel ini adalah kesinambungan novel pertama beliau. Ada juga berkata novel beliau (aku tak pasti yang mana) menjadi antara novel terbaik CESB.

Menyelusuri kenangan-kenangan lama kemudian kehidupan terkini lalu dicantumkan dengan baik sekali. Cinta Asnawi dan Cinta Jeslina. Berlainan cara untuk melupakan derita jiwa. Betapa manusia bisa memilih di antara jalan baik dan jalan kemusnahan. benar, manusia punya dua pilihan, dua jalan...Akal dan iman yang menentukan...
 
Anyaman rasa John Norafizan pada waktu 7:37 PG, |

0 Comments: