Cinta Dalam Sepotong Keju: Bahagian 2
Rabu, Disember 20, 2006
BAB 2
“Ibu! Yana dah balik! Yana akan ke England, bu! Yana akan ke England!” Yana menjerit kegembiraan sambil memeluk ibunya. Mak Limah hanya mengukir senyum sambil menggelengkan kepalanya. Inilah kali pertama dia melihat Yana betul-betul gembira. Hanafi dan Hairul hanya tertawa kecil melihat gelagat kakak mereka kelihatan sedikit lucu itu.“Inilah hadiah untuk ibu! Yana janji akan belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan kita semua!” Beritahu Yana sambil menunjukkan tiket kapal terbang kepada Mak Limah.
“Syukur pada Tuhan, Yana... kalau arwah ayah kau ada, mesti dia bangga...” Mak Limah tidak mampu untuk meneruskan kata-kata bila ada air jernih yang mengalir dari kelopak matanya. Kali ini Yana memeluk ibunya dengan lebih erat lagi. Betapa dia juga terharu bila teringatkan arwah ayah. Memang ingatannya kepada arwah ayah samar-samar, tetapi tetap menyayangi arwah ayah seperti dia menyayangi ibunya. Yana tidak tahu apa yang harus dilakukan seandainya ibu sudah tiada lagi nanti. Oh! Tuhan... minta-minta dijauhkan...
“Akak dapat masuk U mana?” Hanafi bertanya seolah-olah cuba mengembalikan keceriaan yang hilang sebenar tadi. Yana tersenyum sambil menghulurkan tiket kapal terbang kepada adiknya yang akan menghadapi peperiksaan SPM akhir tahun nanti.
Hanafi membelek-belek tiket kapal terbang satu hala Kuala Lumpur – London itu dengan penuh perhatian. Inilah kali pertama dia melihat tiket kapal terbang. Sebelum ini, mahu melihat tiket kereta api pun susah!
Entah kenapa timbul rasa kasihan bila melihat Hanafi. Wajahnya masih keanak-anakan tetapi Yana tahu banyak beban yang dipikul di bahu Hanafi. Adiknyalah yang kini menjadi tulang belakang kepada keluarga mereka. Sudah hampir setahun Hanafi mengerjakan kebun kelapa sawit mereka. Hasilnya tidak banyak tetapi lebih baik daripada menyuruh orang-orang Indonesia untuk mengerjakannya.
“Akak ke Universiti Lancaster...”
“Dekat mana tu kak? Dekat dengan Manchester ke? Nanti bolehlah belikan Hairul baju jersi Manchester United! Nanti boleh tunjukkan kat kawan Hairul masa main bola nanti.” Hairul pula mencelah dengan penuh minat. Namun kegembiraannya hanya sementara bila Mak Limah pantas mencubit pipi anaknya yang bongsu itu. Cubitan sayang.
“Dah! Jangan nak memandai! Engkau tu dah nak ambil periksa UPSR! Asyik main je! Cuba tengok kak Long kau tu... dah nak pergi negeri orang putih dah!” Marah Mak Limah walaupun bibirnya masih menguntum senyum. Hairul hanya tersengih lebar dan tidak menghiraukan nasihat ibunya. Perhatian anak kecil itu lebih tertumpu pada cerita Yana tentang England.
“Bila kau akan pergi, Yana?”
“Minggu depan, bu...”
“Minggu depan?” Mak Limah tersenyum hambar. Mana nak cari duit untuk menghantar Yana ke Kuala Lumpur nanti?
Perbelanjaan bulanan mereka pun setakat cukup makan dan pakai sahaja. Kalau semuanya pergi ke Kuala Lumpur, alamatnya tiadalah lagi duit mereka untuk bulan itu. Tetapi kalau tidak pergi mengiringi Yana ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang nanti, bermaksud dia tidak akan dapat menatap wajah anak sulungnya itu buat kali yang terakhir.
“Hari ni ibu masak makanan kegemaran kau. Siput sedut masak lemak cili padi.” Beritahu Mak Limah mengubah tajuk perbualan. Dia tidak mahu masalah kewangan merosakkan keriangan mereka sebentar tadi.
Yana menjerit kegembiraan lalu segera menuruti ibunya ke dapur. Begitu juga dengan Hanafi dan Hairul. Masing-masing belum lagi makan walaupun hari sudah beransur petang kerana menunggu Yana pulang tadi.
“Mana ibu beli, ni?” Tanya Yana yang sudah duduk bersimpuh dan tidak sabar lagi untuk menjamu selera. Jari jemarinya yang kecil mulus pantas sahaja mencubit ikan kering yang kemudian dicecah dengan sambal belacan yang berulam petai.
“Tadi aku suruh Hanafi ke Bukit Besar cari siput sedut.” Beritahu Mak Limah yang gembira melihat keseronokan yang terpancar di wajah Yana. Biarlah. Sekurang-kurangnya Yana punya kenangan yang indah di Malaysia sebelum bertolak nanti. Lagipun bila tiba di England sana, mana nak cari siput sedut masak lemak cili padi nanti?
“Nanti tiba England, kak Long dah tak dapat makan siput sedut lagi...” Beritahu Hairul berseloroh.
“Tak apa, akak boleh makan keju tiap-tiap hari!” Balas Yana melayan gurauan adiknya.
“Keju tak sedap, lagipun tak umph macam sambal belacan!” Hanafi pula mencelah. Ketiga-tiga adik-beradik itu tertawa lucu. Mak Limah hanya tersenyum sahaja bila mendengar celoteh anak-anaknya yang amat disayangi itu. Biarlah, selagi ada masa untuk bergurau senda...
Dan ketika makan tengah hari itu, Yana begitu berselera sehingga menambah dua pinggan nasi lagi. Sesuatu yang jarang dilakukannya sebelum ini.
Ada satu minggu lagi sebelum dia meninggalkan keluarga yang tercinta di Malaysia. Tetapi selepas minggu hadapan, dia terpaksa mengatur kehidupannya sendiri tanpa tunjuk ajar ibu di sisi. Bagaimana dia dapat hidup tanpa ibu, Hanafi dan Hairul nanti?
Ah! Biarkanlah dahulu. Jangan difikirkan sangat. Lagipun dia masih lagi berada di Malaysia. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan, fikir Yana tersenyum sambil menyenduk nasi untuk kali yang ketiga!
4 Comments:
Ebriza,
PTS tu syarikat penerbitan baru ker?
PTS tu syarikat penerbitan baru ker?
yup, PTS tu syarikat penerbitan baru tapi rasanya dh setahun di Malaysia ni. Bukunya khas utk remaja saja. Nak add ke? Nanti saya berikan. Cubalah .. mana tahu ada rezeki awak di sana. Sebagai penulis, kita harus merebut peluang,walaupun kita dikatakan tamak.:) John, email add awak apa? Mine: ebriza77@yahoo.com -Ebriza
Dah anto kan?
john_norafizan@yahoo.co.uk
john_norafizan@yahoo.co.uk
Ebriza rasa projek utk novel cinta remaja ni harus diteruskan kerana erbiza nampak potensinya amat bagus dalam mengespresikan gaya bahasa dan persoalan. Awak boleh hantar novel ni ke PTS yang dikhusukan utk novel remaja saja.