Cinta Dalam Sepotong Keju: Bahagian 3
Khamis, Disember 21, 2006
BAB 3
Lapangan terbang antarabangsa Sepang KLIA penuh dengan para pelajar yang mundar-mandir di sana sini. Yang lelaki kemas berkot hitam dan bertali leher sementara para pelajar perempuan pula berbaju kurung. Ada juga yang memakai kain labuh yang dipadankan dengan kot hitam seperti pelajar-pelajar lelaki yang lain. Yang memandang ke kiri dan ke kanan. Masing-masing dengan hal sendiri.Dia dapat melihat pelbagai ragam manusia di situ. Ada yang menangis dan tertawa riang sambil mengambil gambar sebelum berlepas ke England nanti. Bukan sahaja ibu bapa, malah saudara mara dan mungkin juga seluruh kampung dibawa bersama seolah-olah pelajar-pelajar yang akan pergi ke England ini tidak akan balik lagi untuk selama-lamanya.
Yana tersenyum bila terpandang seorang pelajar lelaki gemuk yang sedang menangis teresak-esak. Ibu pelajar itu pula cuba memujuknya dengan memberitahu setiap makanan yang telah dibungkus rapi dan kini dimasukkan di dalam beg besar di sebelahnya. Yana agak, beg itu tidak ada apa-apa kecuali makanan sahaja!
Dia memandang ibu yang kelihatan kagum dengan suasana di lapangan terbang. Yana faham, ibu tidak pernah melihat sebegini ramai manusia di kampung sana. Jika ada pun keramaian yang melibatkan ramai orang, itu cuma beberapa kali sahaja di dalam setahun seperti perayaan Maulud Nabi atau majlis perkahwinan.
Ibu memang tidak betah melihat sebegitu ramai orang di dalam satu-satu tempat pada suatu masa. Tetapi syukurlah, dengan wang penajaan yang diberikan kepadanya, dia dapat membayar tambang bas ekspres pergi dan balik ibu dan kedua-dua adiknya bagi mengiringi pemergian Yana ke England sebentar lagi.
Sesungguhnya di saat ini, Yana hanya berharap agar arwah ayah dapat melihat kejayaannya. Terasa sayu di hati bila melihat pelajar-pelajar lain ditemani oleh kedua-dua ibu bapa mereka, tidak seperti dia yang datang hanya berteman ibu sahaja. Jauh di sudut hati, terdetik persoalan sama ada dia dapat hidup berjauhan dengan keluarganya yang tersayang itu.
“Mama dah bungkus kan rendang daging kegemaran Along. Makanan Along pun, mama dah bungkus dengan rapi. Jangan menangis lagi sayang!” Budak lelaki gemuk yang berdiri berhampiran dengan Yana tadi mengangguk walaupun air matanya masih lagi mengalir. Mamanya mencium budak lelaki gemuk itu yang kemudiannya tersenyum senang. Yana tersenyum geli hati. Barangkali budak lelaki itu ingat bahawa bekalan makanan yang dibekalkan oleh ibunya cukup untuk tempoh tiga tahun pembelajarannya di sana!
“Hizam jangan menangis. Papa dah suruh pakcik kamu di London tengok-tengok kan kamu bila dah sampai nanti. Duit yang papa bagi tu cukup tak? Nah! Ambil kad kredit papa ni. Jangan lupa beritahu kalau tak cukup wang!” Ayah kepada budak lelaki gemuk itu memandang anaknya dengan sepenuh perhatian. Yana dapat mengagak yang Mak Limah juga telah mendengar perbualan itu, kerana kemudian dia tersenyum pahit dan memandang Yana dengan pandangan sayu.
“Ibu tak ada apa-apa nak bagi pada kau, nak. Tapi tiap-tiap hari ibu akan doakan kejayaan kau sampai kau balik nanti!” Beritahu Mak Limah tersenyum sayu. Yana menggetap bibirnya cuba menahan air mata yang mahu mengalir keluar.
Ibu tidak menangis tetapi matanya jelas kelihatan merah. Ah! Ibu, anak mu ini akan balik dengan segulung ijazah dan membela nasib kita sekembalinya Yana ke tanah air tercinta ini!
“Itu dah lebih dari cukup, bu!” Yana memeluk ibunya dengan erat. Dia menyembamkan pipinya ke bahu ibu agar ibu tidak melihat air matanya yang mengalir. Hanafi dan Hairul cuma terdiam sahaja.
“Kita bukan orang berada, Yana. Ingat pada Tuhan dan selalu buat baik dengan orang. Insya-Allah kau akan selamat nanti...” Beritahu Mak Limah lagi. Dan Yana tidak dapat mengelak daripada memandang budak lelaki gemuk itu. Dia tahu keluarganya tidak akan mampu memberikan apa yang diberikan oleh ayah dan ibu budak lelaki gemuk itu.
“Baik bu... Yana ingat pesan tu.” Yana tersenyum dan mengangguk. Kemudian dia beralih pula kepada adik-adiknya. Hairul dan Hanafi mencium tangan Yana dan memeluk kakak mereka dengan sayu. Mereka tidak pernah berpisah jauh dengan Yana. Inilah kali pertama buat mereka.
“Ngah... kau jaga ibu baik-baik... lepas tu SPM kau buat betul-betul... kakak nak kau pun berjaya...” Hanafi mengangguk tanpa bantahan.
“Dan Hairul, dengar kata ibu. Jangan banyak sangat nak main. Nanti kakak belikan kau baju jersi Manchester United.” Hairul tersenyum lebar mendengar nasihat Yana.
“Minta perhatian semua! Pelajar tajaan MARA semua ke sini!” Seorang perempuan muda berpakaian baju kurung dan bertudung kemas tegak berdiri di satu sudut.
Yana kenal dengan wanita itu. Namanya puan Haliza Othman. Dialah yang menguruskan pemergian pelajar-pelajar Malaysia ke luar negara. Puan Haliza tersenyum memandang setiap wajah yang kelihatan sudah tidak sabar-sabar untuk memasuki pesawat kapal terbang yang akan membawa mereka jauh dari Malaysia.
“Assalamualaikum dan selamat malam! Saya tak akan bercakap panjang lagi sebab semuanya saya sudah terangkan dua minggu yang lepas. Cuma saya nak ingatkan sekali lagi supaya gunakan duit yang ada sebaik-baiknya. Kamu semua akan dapat elaun seperti biasa bulan Januari nanti, jadi bila sampai di sana, jangan lupa buat akaun awak. Ingat pesan saya ni!” Beritahu puan Haliza tegas. Tidak ada lagi senyuman di wajahnya.
Beberapa orang pelajar lelaki yang berdiri di belakang Yana berbisik sesama sendiri. Yana tahu mereka sedang berbincang untuk membeli alatan muzik berserta radio hi-fi setibanya mereka di England nanti. Kata-kata puan Haliza tadi bagaikan masuk telinga kiri keluar telinga kanan!
Setelah tamat sesi penerangan itu, puan Haliza mengarahkan mereka untuk masuk ke balai berlepas supaya tidak ada pelajar-pelajar yang terlewat nanti. Sempat juga dia mengingatkan agar pelajar-pelajar agar kembali dengan segulung ijazah demi bangsa dan negara sebelum mereka bersurai.
“Ibu, Yana rasa Yana kena pergi ke balai berlepas sekarang...” Ibu yang duduk kepenatan ketika menunggu puan Haliza menyampaikan amanatnya memandang Yana dengan pandangan sayu. Mak Limah tahu bahawa inilah kali terakhir dia akan melihat wajah anak perempuan tunggalnya itu. Inilah masanya... dan dia tidak akan dapat melihat Yana sehinggalah Yana kembali semula ke tanah air tiga tahun lagi.
Tetapi siapa yang tahu seandainya ajal menjemput dia dahulu sebelum sempat Yana pulang nanti?
Mak Limah tidak dapat menyembunyikan air matanya lagi. Dia menangis dan memeluk erat Yana. Mereka berpelukan buat kali yang terakhir.
“Jaga diri kau, nak. Ibu doakan kejayaan kau...” Kata-kata Mak Limah bagaikan azimat buat penenang hatinya. Yana cuba tersenyum untuk menguatkan hatinya. Dia mengangguk perlahan-lahan. Dengan pandangan yang berat, dia melangkah longlai ke balai berlepas.
Oh! Tuhan, dapat kah dia melalui dugaan ini dengan hati yang tabah? Yana menoleh kali terakhir ke arah keluarganya sebelum memasuki balai berlepas yang akan memisahkan mereka nanti. Hairul dan Hanafi melambaikan tangan mereka dengan senyuman yang merestui pemergian Yana. Tetapi Mak Limah hanya memalingkan wajahnya. Dia tidak sanggup lagi merasa kesakitan bila melihat wajah Yana buat kali yang terakhir itu.
Yana cuba menguatkan semangatnya. Namun sehingga kakinya melangkah ke dalam perut pesawat yang akan membawanya keluar dari Malaysia itu, Yana tidak dapat memadamkan kesedihan meninggalkan ibu dan adik-adiknya. Oh! Dan sekarang dia sudah merasa rindu yang amat sangat pada mereka!
Seorang pramugari tersenyum ke arahnya sambil mengarahkan Yana menuju ke tempat duduk di bahagian tengah kapal terbang. Yana memeriksa nombor tempat duduknya dan sedikit hampa kerana tidak dapat duduk berhampiran dengan tingkap. Dengan keluhan lemah, dia menghenyakkan punggung ke kerusi yang empuk itu.
Yana baru sahaja ingin melelapkan matanya bila seorang lelaki yang berbadan besar berdiri di sebelahnya. Ah! Budak lelaki gemuk yang menangis tadi! Budak lelaki itu tersenyum manis.
Saya Abdul Hizam Wahid. Boleh tumpang lalu? Tempat duduk saya di sebelah awak!” Beritahu budak lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Hizam itu. Yana tersenyum mesra sambil memberikan laluan kepada Hizam.
“Nama awak siapa?” Tanya Hizam sambil mengesat peluhnya walaupun Yana pasti suhu di dalam pesawat itu tidak begitu panas.
“Mazyana... dari Kulai!”
“Oh, Kulai... saya dari Kuala Lumpur.” Beritahu Hizam pula. Dan kemudian dia terus memandang ke luar tingkap.
“Lihat kapal terbang dah mula bergerak.” Yana tidak pasti sama ada Hizam sedang bercakap dengan Yana atau bercakap dengan dirinya sendiri. Apa yang pasti, dia tidak dapat melihat satu apa pun pemandangan di luar sana disebabkan saiz badan Hizam yang besar!
Dan sepanjang penerbangan yang mengambil masa lebih kurang dua belas jam itu, Yana tidak dapat melelapkan matanya dengan nyenyak. Bukan kerana dengkuran Hizam yang terlalu kuat dan mengundang ketawa sebahagian dari penumpang di pesawat itu. Tetapi kerana dia sudah terlalu rindukan ibu, Hairul dan Hanafi. Oh! Tiga jam pun dia sudah merindui keluarganya separuh mati, bagaimana dia nak mengharungi jarak masa tiga tahun nanti?
Yana menarik nafas panjang. Dia tidak tahu apa yang menunggunya di Lancaster nanti, tetapi dia mengharapkan segala-galanya berjalan dengan baik.
“Saya ke Universiti Lancaster. Awak ke mana?” Hizam bertanya tiba-tiba setelah tersedar dari tidur. Dia segera mengelap air liur yang meleleh melalui celah bibirnya bila menyedari yang Yana sedang memerhatikannya bagaikan terpaku seperti patung!
Hizam tersengih malu.
Yana tersenyum geli hati walaupun bulu romanya meremang kegelian melihat air liur Hizam itu. Ah! Sekurang-kurangnya budak lelaki ini dan sifat peliknya akan menjadi perhatian orang lebih dari Yana. Jadi tidak ada budak-budak jahat yang akan mengganggu Yana di universiti nanti.
“Universiti Lancaster juga... jurusan perakaunan.” Beritahu Yana lagi. Dan tiba-tiba Hizam tertawa senang. Ketawanya begitu kuat sehinggakan seorang pramugari datang ke arah mereka dan dengan sopan, mengarahkan Hizam supaya tidak mengganggu orang lain. Yana yang terasa bersalah kerana dialah yang memulakan perbualan meminta maaf berkali-kali.
“Awak tak patut minta maaf dan tak patut rasa bersalah, bukan awak yang ketawa kuat tu!” Balas pramugari tadi sebelum berlalu.
“Maafkan saya! Maafkan saya!” Kata Hizam separuh berbisik kepada pramugari itu. Dan kemudian dia berpaling ke arah Yana dengan senyuman yang melebar.
“Tahu tak kenapa saya gembira? Sebab saya pun ambil jurusan perakaunan. Jadinya kita ni rakan sekelaslah!” Beritahu Hizam sambil menghulurkan tangan. Yana tidak pasti sama ada dia harus menyambut tangannya atau melihat sahaja perlakuan Hizam itu. Lagipun bukankah tadi, Hizam mengesat air liur yang meleleh dengan tangan kanannya?
“Kita akan jadi kawan baik bila tiba di Lancaster nanti!” Kata Hizam lagi. Kali ini dia yang mencapai tangan Yana sambil menggoncang genggaman tangan mereka dengan kuat. Yana sekadar tersengih ketakutan melihat sikap Hizam yang tidak dapat dijangkakan itu. Entah-entah Hizam ni baru terlepas dari rumah sakit jiwa tak?
Yana beristighfar beberapa kali dan cuba membuang segala prasangkanya terhadap Hizam. Bukankah ibu sudah berpesan tadi supaya berbuat baik sesama manusia? Yana mengeluh kecil. Akhirnya dia memaksa dirinya untuk tersenyum.
“Kita jadi kawan.” Balas Yana sambil mengangguk. Hizam tertawa lagi. Tetapi kali ini dia berjaya mengawal bunyi ketawanya.
Ah! Lihatlah dari sudut yang positif. Sekurang-kurangnya kini dia sudah ada kawan baik yang meleleh air liurnya ketika tidur. Hidup yang menggembirakan!
2 Comments:
« back home
Catat Ulasanhmm...budak gemuk dan pelajar perempuan bernama Yana belajar di Universiti Lancaster.... dah ada dua kebetulan dah nih... hehe...
Hahahahahhahaa.....
Kejap lagi nama ahmed razman plak kuar... tunggu jer la :)
Kejap lagi nama ahmed razman plak kuar... tunggu jer la :)