Cinta Dalam sepotong keju: Sneak Peek!

Selasa, Disember 26, 2006
Entah apa yang ibu sedang buat di saat ini, detik hati Yana sambil memandang tasik yang beralun tenang di hadapan Universiti Lancaster. Warna airnya yang hijau jernih itu sesekali berkocak bila itik-itik serati yang sedang berenang mengembangkan sayap mereka. Di sekitar tasik, pohon-pohon besar memagari tebing tasik. Kelihatan di sana-sini arnab-arnab liar berkejaran sesama sendiri.

Hanafi pula... adakah dia sedang tekun belajar tika dan saat ini? Dia benar-benar berharap Hanafi akan berjaya di dalam peperiksaan SPM nanti. Dan Hairul? Yana tersenyum sendirian. Dia masih lagi belum dapat membelikan baju jersi Manchester United untuk adik bongsu kesayangannya itu. Nantilah, bila dia ada kelapangan.

Yana tidak menyangka bahawa kini sudah lebih seminggu dia berada di rantau orang. Segala-galanya baru dan kekok tetapi menyenangkan. Ah! Apalah yang dia tahu tentang rantau orang? Dahulu di Malaysia pun, kalau tidak kerana melanjutkan kursus matrikulasi di Kuala Lumpur, jangan harap dia dapat menjejakkan kakinya ke ibu kota Malaysia!

Pelajar-pelajar di sini ramah dan selalu tersenyum walaupun datang dari pelbagai sudut dunia dan budaya yang berbeza. Mungkin ada beberapa orang yang kelihatan seperti orang jahat seperti Zamani dan kawan-kawannya, tetapi Yana tahu bahawa selagi dia pandai menjaga dirinya, tidak ada apa-apa yang akan berlaku.

Cuma dia sedikit terkilan kerana pelajar-pelajar Melayu di sini seolah-olah tidak menyukainya. Memang mereka tidak memberitahu Yana secara terus terang. Memang kadang-kadang bila ada aktiviti yang melibatkan pelajar-pelajar Malaysia, dia akan dipanggil sama. Tetapi Yana dapat merasakan sesuatu yang lain. Perasaan seolah-olah orang tidak menyukainya.

Kadang-kadang bila dia berjalan, beberapa orang pelajar Malaysia akan berbisik sesama sendiri dan kemudian ketawa bagaikan ada sesuatu yang lucu yang sedang dibincangkan.
Adakah kerana penampilannya yang terlalu ringkas itu? Baju dan seluarnya yang terlalu besar untuk tubuh sekurus itu?

Yana mendengus lemah. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mengubah cara berpakaiannya. Pada Yana, pakaian seperti itulah yang menyenangkan. Memanglah ia sedikit besar, tetapi sekurang-kurang ia boleh dipakai untuk beberapa tahun yang akan datang!
Dan itulah yang tidak difahami oleh kebanyakan pelajar-pelajar Malaysia yang mengenalinya. Dia tidak kesah jika ada yang mahu mengata asalkan dia dapat mengirimkan sebahagian daripada duit pinjaman bulanannya kepada ibu dan adik-adiknya di kampung. Mereka lebih memerlukan dari dirinya sendiri.

Malah dahulu pun ketika di Malaysia, hampir setiap bulan dia dapat memberikan seratus lima puluh ringgit untuk keperluan harian keluarganya. Yana tersenyum sendirian. Ramai orang yang sudah bekerja pun tidak dapat memberikan wang sebanyak itu kepada ibu bapa mereka!
Ah! Memang dia benar-benar rindukan ibu dan adik-adiknya dan bumi Malaysia yang tercinta.

“La... kat sini rupanya kau! Puas aku cari kau! Kau buat apa di sini, Yana?” Hizam muncul entah dari mana. Dia hanya tersengih sebelum duduk di sebelah Yana. Hizam menggeliatkan badannya.

“Eh! Kenapa kau tak pakai jaket sejuk ni? Kan cuaca ni betul-betul sejuk. Tak silap aku empat darjah Celsius! Kau tak takut sejuk ke?” Dia tidak sempat untuk menjawab soalan pertama Hizam bila lelaki itu yang kini telah menjadi teman rapatnya di sini bertanya lagi. Yana tertawa geli hati.

“Apa yang lucunya?”

‘Kaulah yang lucu!”

Jawapan dari Yana itu disambut oleh Hizam dengan ketawa panjang seolah-olah sesuatu yang lucu telah menggeletek hatinya. Yana tersenyum sambil menggelengkan kepala melihat gelagat Hizam itu. Hizam oh Hizam.

Hizam anak orang kaya. Tetapi seperti Yana, Hizam juga tidak punya ramai kawan. Walaupun dia seorang yang baik hati, tetapi perangainya yang kebudak-budakan benar-benar membuatkan dia dipinggirkan oleh teman-teman sekelas. Hizam selalu tertidur dan berdengkur dengan kuat. Kadang-kadang (tetapi selalunya!) air liur akan meleleh membasahi dagu dan bajunya. Dan kalau mahu bercakap dengan Hizam pula, bersedialah dengan payung dan cermin mata. Kalau tidak, habis seluruh badan di sembur oleh air liur Hizam.

Tetapi Yana tidak sampai hati untuk menjauhkan dirinya dari Hizam. Yana tahu dia dan Hizam sama. Tidak ada pelajar-pelajar Malaysia yang mahu berkawan dengan mereka. Dan seperti pesan ibu tempoh hari, Yana harus berbuat baik dengan semua orang. Selamat datang ke kelab tiada kawan!

“Kenapa kau cari aku, Zam? Kau nak belanja aku macam hari tu ke?” Tanya Yana menduga. Dan kali ini Hizam tertawa dengan lebih kuat lagi sehingga bahunya bergoyang-goyang. Yana mengerutkan wajahnya. Dia sendiri tidak tahu apa yang lucu di dalam kata-katanya tadi.

“Aku nak ajak kau jalan-jalan bandar Lancaster!. Ada Car-Boot Sale hari ni!” Beritahu Hizam sungguh-sungguh (dan dengan nada suara yang kuat!). Walaupun baru sahaja seminggu di sini, pelajar-pelajar senior sudah memberitahu mereka tentang barangan murah terpakai yang boleh dibeli di Car-Boot Sale. Konsepnya sama seperti pasar lambak. Cuma tidak ada barangan baru sahaja yang dijual di sini.

“Kenapa tak ajak Saiful?” Saiful adalah teman sebilik Hizam di kampus universiti. Tetapi tidak pernah sekalipun Yana melihat kedua-duanya keluar bersama. Semua orang tahu Saiful adalah pelajar Malaysia yang paling kacak di Universiti Lancaster. Mungkin pada anggapan Saiful, Hizam tidak layak untuk berkawan dengannya.

Hizam terdiam seketika. Dia menundukkan wajahnya. Tetapi kemudian dia tersenyum bagaikan cuba menyembunyikan apa yang tersirat di hati.

“Dia nak berkawan dengan aku? Dia cakap pada aku, aku tak layak berkawan dengan dia, Yana...” Yana mengeluh kecil. Ada juga manusia seperti itu. Timbul pula rasa bersalah di hati Yana kerana dia yang bertanya tentang Saiful tadi.

“Tak apalah... aku tahu Hizam tu kacak, aku ni belacak. Belacak gemuk!” Tutur kata Hizam yang jujur itu membuatkan Yana tidak dapat menahan ketawanya. Hizam benar-benar menggelikan hatinya.

“Kau ni mengarut aja! Mana ada binatang nama belacak?”

“Ada! Ikan belacak!”

Kedua-duanya tertawa senang walaupun Hizam yang terlebih ketawa di atas lawak jenaka yang dibuatnya sendiri. Tidak mengapalah, detik hati Yana. Yang penting kedua-duanya senang dengan kehadiran masing-masing di situ.

“Eh! Aku kan nak ajak kau ke bandar! Jomlah!” Hizam bangun serta-merta. Pandangannya bersinar-sinar memandang Yana dengan senyuman senang. Yana menggetap bibirnya.

Oh! Tuhan... yang sebenarnya dia tidak pernah keluar berdua-duaan dengan mana-mana lelaki sebelum ini! Bagaimana mahu memberitahu Hizam bahawa dia kekok untuk keluar dengan Hizam seperti itu? Apa orang kata nanti? Dan nasihat ibu yang menyuruh Yana menjaga diri bagaikan berputar kembali di fikirannya.

“Kau takut aku apa-apa kan kau ke?” Tanya Hizam bagaikan dapat membaca apa yang ada di fikiran Yana. Yana tersengih malu lantas menggelengkan kepalanya.

“Malaslah... lagipun esok ada kelas lah!”

“Bukannya kita pergi sampai malam pun... dua tiga jam aja. Kalau cepat agaknya tak sampai satu jam!”

“Kalau kau ajak Maria...”

“Okey! Okey! Kita ajak Maria sekali!”

Akhirnya Yana mengangguk dan bersetuju dengan ajakan Hizam. Dia tahu dia tidak punya alasan lagi. Ah! Apa yang harus ditakutkan. Tidak ada apa-apa di antara dia berdua. Lagipun, teman sebilik Yana, Maria akan mengikut mereka. Hizam benar-benar gembira. Lagaknya memang tidak ubah seperti kanak-kanak yang mendapat aiskrim percuma.

Dua puluh minit kemudian, Yana, Hizam dan Maria berdiri penuh sabar menunggu bas universiti yang akan membawa mereka ke bandar Lancaster dengan percuma.

“Tadi kau cakap nak belanja kami makan, ya? Aku sayang pada kau, Hizam!” Beritahu Maria memecahkan suasana sunyi yang berlarutan sejak mereka sampai di perhentian bas beberapa minit yang lalu.

Perempuan berkulit hitam dari Afrika Selatan itu memang peramah dan suka bergurau. Maria sama seperti Hizam, tidak kira di mana dia berada, dia akan bercakap dengan suara yang kuat dan lantang sehingga menarik perhatian orang. Tetapi sebenarnya dia memang baik. Dialah orang pertama yang menyapa Yana pada hari pendaftaran di universiti dahulu dan kini mereka telah menjadi rakan sebilik dan juga rakan sekelas.

“Kalau macam ni tiap-tiap hari, aku sanggup jadi isteri kau!” Beritahu Maria bergurau dan tiba-tiba tertawa dengan kuat. Hizam menyertainya, ketawa sehinggakan keluar air mata! Yana yang berdiri di antara Hizam dan Maria menjadi serba salah. Dia memandang ke sekeliling dan berharap tidak ada sesiapa yang melihat mereka.

Kelihatannya semua orang yang sedang menunggu bas di situ sedang memandang mereka. Seorang remaja lelaki yang mengunyah gula getah tidak henti-henti tersenyum sumbing ke arah mereka. Sepasang kekasih yang sedang bercumbuan (tak tahu malu!) terpaksa memberhentikan aktiviti mereka untuk melihat apa yang berlaku. Dua tiga orang lagi sekadar menggelengkan kepala.

“Dahlah Hizam, Maria...” Kata Yana separuh berbisik. Mengharapkan kedua-dua rakannya itu berhenti ketawa.

“Yana, Yana... dunia ni perlukan orang yang suka ketawa dan gembira. Kalau semua macam kau, habislah senyap sunyi dunia ni!” Betah Maria diselang seli dengan ketawanya yang tidak sudah-sudah itu. Yana memaksa dirinya untuk tersenyum. Memang dunia ini memerlukan orang yang suka tersenyum dan bergembira, tetapi bukanlah ketawa terbahak-bahak sehingga mengganggu orang lain!

“Tu bas dah datang dah!” Yana mengeluh lega. Kalau tidak, tidak tahulah apa lagi celoteh bukan-bukan Maria dan Hizam nanti.

“Mari kita bersuka ria di bandar Lancaster!” Beritahu Maria lantas menarik tangan Hizam dan berdiri di barisan yang pertama sekali. Perlakuan mereka yang sedikit tergopoh-gapah itu menyebabkan seorang lelaki pertengahan umur yang sedang membaca surat khabar terpaksa ke tepi. Dia sekadar menggelengkan kepalanya tanda tidak menyukai apa yang dilakukan oleh Hizam dan Maria tadi.

Yana pula berdiri di barisan yang paling belakang sekali. Dia tidak tahu kenapa dia tidak menyertai Maria dan Hizam di bahagian hadapan. Tetapi yang jelas, Yana tidak menyetujui apa yang dibuat oleh Hizam dan Maria itu. Di hadapan Yana, kekasih yang bercumbuan tadi berdiri menunggu giliran untuk masuk ke dalam bas.

“Tadi kau kata kita naik teksi? Aku tak mahu naik bas!” Perempuan yang memakai jeans ketat yang berdiri di hadapan Yana itu menarik tangan lelaki itu ke tepi. Mukanya masam mencuka.

“Margaret! Aku tak ada wang!” Lelaki yang berkulit cerah dan bermata biru itu cuba menarik kembali tangan Margaret. Margaret menepis dan terus menuju ke bangku tidak jauh dari perhentian bas itu.

Yana tahu dia tidak bermaksud untuk mencampuri urusan pasangan kekasih itu. Tetapi hatinya benar-benar kasihan pada lelaki itu. Dan perempuan cerewet yang bernama Margaret itu. Dia memang tidak layak menjadi kekasih kepada orang sekacak lelaki itu.

Dan entah bagaimana, pandangan Yana bertembung dengan lelaki itu. Lelaki itu tersenyum kepadanya sambil mengangkat bahu tanda mengalah. Yana jadi malu sendiri. Cepat-cepat dia menundukkan kepalanya dan bergegas masuk ke perut bas.

“Yana! Tempat duduk kau!” Maria menjerit memanggil Yana. Dengan pantas Yana mengambil tempat duduknya sambil memerhatikan lelaki dan perempuan yang bergaduh tadi.

Dan ketika bas perlahan-lahan meninggalkan Universiti Lancaster, Yana masih lagi tidak melepaskan pandangannya ke arah lelaki kacak tadi yang semakin lama semakin mengecil dan hilang dari pandangannya...
 
Anyaman rasa John Norafizan pada waktu 12:38 PTG, |

7 Comments:

  At 1:31 PTG Anonymous Tanpa Nama said:
john, kenapa panggil ni novel remaja? rasanya semua org boleh dan suka baca cerita ni
  At 2:25 PTG Anonymous Tanpa Nama said:
Em.. terima kasih kerana memberi komen yang positif.
Ada 2 perkara yang membuatkan saya rasa ia adalah novel remaja

1)Tema yang tak berat berbanding Sempadan Tanpa Seri, Tunjukkan Aku Satu Bintang dan Cinderella Cinta

2) Gaya bahasa yang digunakan tidak puitis seperti novel2 terdahulu tetapi memasuki sedikit gaya 'selamba'

Apa pula kata pembaca yang lain?
  At 4:23 PTG Anonymous Tanpa Nama said:
Saya rasa cerita keju nih boleh diteruskan.. syabas!
  At 5:48 PTG Anonymous Tanpa Nama said:
Keep up a gud work. Remaja, kalau bahasa puitis sgt pun tak leh gak takut mrk tak faham.Mrk lbh gemar dgn gaya yg selamba spt novel Dambaan Pilu saya. :)-ebriza
bandar lancaster? lebih kepada pekan kot.. hehehe.. sebijik macam kajang...satay je takde...kebab ada la
  At 7:27 PG Anonymous Tanpa Nama said:
Ebriza... terima kasih.. itulah yang sebenarnya saya mahu.. sebuah novel dengan caan santai dan tidak terlalu berat ... terima kasih :)
  At 7:28 PG Anonymous Tanpa Nama said:
ahmed razman....
Sate tak da ek?... peluang berniaga kat Lancaster tu! huhuhu