Alahai, menulis!
Kata-kata temanku semalam buat aku tersentak seketika. Ternganga sedikit. Malu pun ada.
“Sikit sangat, bila nak habis kalau tulis sepuluh muka surat satu hari?”
“Tapi aku buat macam tulah... sepuluh muka surat setiap hari.”
“Hmm... sepuluh muka surat. Macam tu berkurun pun tak habis!”
Aku tidak perasan sama ada dia ketawa atau tidak. Kecualilah jika aku masuk menyelinap ke dalam gagang telefon dan bersemuka dengan minah jelita ini. Mungkin aku dapat melihat temanku tertawa. Tetapi aku tahu yang aku sendiri tertawa malu. Mungkin muka ku jadi merah kala itu, aku tidak pasti. Yang pasti aku seperti terkena renjatan elektrik dengan komennya!
Menulis. Tidak dinafikan semua penulis, di mana-mana di muka bumi ini, akan memberikan sebahagian dari masa mereka untuk menulis. Ada yang menetapkannya sebanyak satu muka surat satu hari. Ada yang sepuluh, atau dua puluh. Ada yang tidak mengiranya. Malah mungkin ada juga yang menulisnya sehingga ke muka surat yang ke seratus di dalam suatu hari.
Aku tidak tahu penulis-penulis lain, tetapi kepada rakan penulis yang aku kenal seperti Liana Afiera Malik dan Nass Alina Noah, mereka boleh menulis sehingga berpuluh-puluh muka surat. Ahadiat Akashah juga seperti itu. Ah! Mereka bolehlah. Mereka memang ‘juara’ menulis novel. (Dan dua dari tiganya adalah kawan akrab, mentor dan tempat bertukar fikiran/meluah perasaan tentang masalah dan cabaran penulisan di Malaysia ini).
TETAPI Aku bukan mereka. Aku ni penulis kura-kura. Dan aku senang dengan cara itu.Dari dahulu lagi, aku tidak suka untuk memaksa diri ku menulis sesuatu secara terpaksa. Bukan bermaksud aku menulis ikut sedap hati, atau dengan kata lain yang jengkel, menulis ikut mood sahaja. Kalau mood ada, tulislah, kalau tidak, lantaklah!
Tidak. Bukan begitu. Aku lebih suka menetapkan kadar penulisan seharian ku. Sepuluh muka surat. Tidak lebih. Tidak kurang (tetapi kalau terlebih sedikit, lebih bagus!). Pada aku, bukan jumlah berapa banyak yang ditulis, tetapi kualiti penulisan itu sendiri.
Mungkin cara penulisan ku boleh diibaratkan seperti memasak. Kalau memasak, aku suka mengambil masa mencari rempah-rempah yang harum dan berkualiti. Daging dan ikan yang segar. Biar hasil masakan ku disenangi oleh orang yang menjamahnya. Walaupun mengambil masa lima jam berbanding masakan makcik combi di warung hujung jalan sana (yang mengambil masa sepuluh minit), aku tidak kesah dan tak ada perasaan dengki dengan makcik combi pun. Kalau makcik combi yang sudah beranak lima juga punya peminat (masakannya lah bukan orangnya!), aku pasti masakan aku juga disukai!
Oh! Oh! Tetapi aku harap, kenyataan ini tidak disalahtafsirkan. Jika ada penulis yang boleh menulis sehingga seratus muka surat satu hari. Maka itu cara mereka. Petua mereka. Selera mereka. Tidak ada yang salah. Semua penulis punya cara tersendiri. Ziana Zain boleh mengangkat keningnya, bolehkah Siti Nurhaliza melakukannya? Gelek Inul memang memukau, tetapi gelek M. Daud Kilau masih belum ada yang mencabarnya!
Siapa kata Siti Nurhaliza lebih baik dari Ziana Zain, atau M. Daud Kilau lebih baik dari Inul. Tidak. Masing-masing punya kekuatan yang tersendiri. Tidak ada yang lebih baik. Tidak ada yang lebih kurang.
Kita harus menulis dari hati. Tetapi jangan ikut hati. Jangan ikut emosi sendiri sahaja. Fahami apa yang pembaca mahu. Kalau tidak, nanti jadi buku yang dikatakan syok sendiri pula.
Tetapkan matlamat setiap hari dan jangan cuba ‘tuang’ dari matlamat itu. Lima puluh muka surat atau lima jam setiap hari. Jika itu yang menjadi matlamat, maka cubalah menjadi istiqamah dengannya.
Seperti penyanyi juga, mahu mengikut rentak dangdut atau rock atau balada. Suara tinggi, suara rendah, suara nyaring atau sengau, yang PALING PENTING anda harus berlatih dan berlatih lagi dan lagi. Dan di dalam konteks penulisan pula, maksudnya kita harus menulis dan menulis dan menulis sehingga idea itu dapat mengalir seperti pili air yang boleh dibuka dan ditutup bila-bila masa yang kita suka.
Kepada anda yang mahu menulis, Aku dan penulis-penulis yang sudah sedia ada di Malaysia ini mengalu-alukan kedatangan anda semua ke dunia kami ini – dunia penulisan. Banyak lagi yang harus diterokai, resipi yang belum dicuba, dan kisah yang belum dilawati.
Percayalah, anda boleh.
16 Comments:
P/S: Aik, maner pegi minah brutal ni? heheheh
chaiyok..!! chaiyok..!!
Kak Wan, untuk dejavu nanti gerenti kak wan tak cepuk-cepuk kapla JN.
Kali ni lagi lain.. lain yang banyak dari cinderella cinta, tunjuk... bintang mahupun sempadan... seri! hehehe.. satu lagi eksperimen dari JN!!!
Saya setuju benar dengan nor ash, sikit2 lama2 jadi bukit. Kepuasan dan kualiti yang penting, kan?
Kalau awak penulis kura-kura.. mesti saya ni tahap labi-labi.. ahaks.. :D
Hehehe, tapi labi-labi boleh panjangkan leher lagi panjang dari kura-kura. Jadi, labih-labi lagi 'tere' dari kura-kura.
Rasanya, semua penulis mengalami apa yang nieys alami. JN nih, kalau balik kampung, siap bawak semua peralatan menulis kononnya nak menulis, tapi bila balik semula ke rumah sendiri, satu apa pon tak bertulis. Hampeh! huhuhu
Pokcik setuju, tulis ikut keupayaan masing2.. supaya hasil yg dapat memuaskan hati dan molek.
teruskan menulis incek John.. hik hik..
(Yg laju menulis kala hujan turun.. )
Time kasih di atas nasihat dan semangat tu! hehehe... Insya Allah akan terus menulis dan menulis untuk semua! :)
MinahC,
Takper.. orang cakap lama-lama jadi bukit
Bagi saya, setiap penulis mempunyai cara mereka sendiri dan ikut kemampuan ketika hendak berkarya. Saya pun mengarang 10 atau kurang muka surat setiap hari tapi masa cuti jek saya pulun lebih 10 muka surat. Yang penting kita tak hilang fokus dan gaya penceritaan Tip Top seperti org dah biasa dengan gaya kita.
Nampaknya, cara kita serupa tapi mungkin stail kita berbeza. Keep Up A Good Work. Yang penting lagi,lagi bagus kalau ada target bila nak siapkan novel ni. So, kita tak kan leka utk menghabiskannya.
BEST OF LUCK
~ebriza~
Betol, yang penting kita tak lari fokus ketika menulis ni...
Good luck untuk ebriza juga! :)